Kanak-kanak boleh berkembang sebagai pelajar yang lebih aktif apabila mereka berseronok dalam persekitaran permainan yang kondusif untuk pembelajaran.

Permainan otak terbaik ialah permainan yang boleh memberi tumpuan kepada bidang tertentu perkembangan anak anda.

Aktiviti permainan untuk kanak kanak ini memberi kesan positif kepada kemahiran motor, ingatan-ingatan lisan, pengecaman dan pengesanan corak, serta lain-lain lagi.

Ini antara yang paling mudah dan terbaik untuk perkembangan minda kanak-kanak :

Susun Suai Gambar (Jigsaw Puzzle)

Bermain puzzle merupakan antara permainan klasik kanak-kanak sejak dahulu lagi. Permainan ini sesuai untuk meningkatkan kemahiran motor halus, pengesanan corak, pengecaman imej dan penyelesaian masalah.

Kanak-kanak juga boleh belajar tentang kerjasama untuk menyelesaikan tugasan, serta kemahiran penting yang berkaitan dengan kepuasan tertunda setelah menyelesaikan puzzle.

Bercerita Dengan Satu Perkataan

IKLAN

Anda boleh mengajak semua anak-anak anda atau kanak-kanak lain untuk bermain permainan ini. Berikan perkataan tertentu kepada setiap kanak-kanak dan minta mereka untuk membuat cerita ringkas dengan menggunakan perkataan tersebut.

Aktiviti ini boleh membantu mencetuskan kemahiran penyelesaian masalah kreatif dalam diri kanak-kanak dan meningkatkan pemahaman mereka tentang bahasa.

Bermain Tanah Liat

Bermain tanah liat juga amat baik untuk perkembangan minda anak anda, lebih-lebih lagi tanah liat dengan pelbagai warna. Bagi kanak-kanak yang masih kecil, tanah liat berwarna-warni sangat sesuai untuk mengajarkan mereka menentukan warna yang betul.

Selain itu, membentuk tanah liat dengan menggunakan tangan mereka sendiri dapat merangsang motor halus selain mengembangkan bakat kreatif anak anda.

Blok & Mainan Binaan

IKLAN

Pemainan blok dipercayai dapat merangsang pertumbuhan otak dalam semua aspek perkembangan. Malah ada kajian membuktikan kanak-kanak yang bermain blok secara kerap ketika berusia 3, 4 dan 5 tahun akan lebih baik dalam pelajaran matematik, khususnya algebra apabila berada di sekolah menengah.

Terdapat banyak pilihan blok dan set pembinaan yang menyeronokkan untuk dipertimbangkan, termasuklah blok kayu dan lego.

Mainan Budak #Pretend play

Pretend play atau role play, merupakan permainan dramatik yang mempunyai manfaat kognitif, sosial dan emosi yang terbaik.

IKLAN

Ini kerana melalui permainan seperti ini, contohnya bermain masak-masak, doktor atau guru, anak akan mula menerokai apa yang disukai, diminati dan menjelajahi dunia di sekeliling mereka. Permainan ini juga memberi peluang kepada anak untuk belajar sesuatu perkara baharu berkaitan kehidupan.

Kanak-kanak sedang membina kemahiran sosial dan emosi, menyokong kemahiran menyelesaikan masalah yang kompleks, belajar membaca isyarat sosial, berkongsi, bergilir-gilir dan banyak lagi apabila mereka terlibat dalam permainan dramatik.

Mainan yang menyokong permainan ini termasuk perabot saiz kanak-kanak, pakaian dan solekan, anak patung dan pakaiannya, makanan plastik, mesin tunai, alat permainan pengangkutan dan sebarang barangan kreatif membolehkan anak ‘berlakon’ (pretend).

Kit Seni & Kraf

Seni dan kraf merupakan antara permainan yang digemari kanak-kanak. Berikan anak kertas, pensel warna, krayon dan gunting yang selamat untuk mereka.

Lihat kegembiraan yang terpancar di wajah mereka apabila berjaya menghasilkan potongan bentuk unik. Berikan sokongan dan percayalah ia akan terus meningkatkan motivasi mereka untuk lebih berimaginasi dan menjadi kreatif.

Berikan putik kapas atau bebola kapas untuk dicelup dalam warna air dan lihat bagaimana mereka menghasilkan lukisan seperti Leonardo da Vinci junior.

Namun anda perlu memantau kerana anak mungkin ‘tergoda’ untuk menconteng dinding! Untuk menghindari perkara ini anda boleh menampal kertas besar pada dinding dengan menggunakan pita pelekat.